Klik Jer

Tuesday, August 27, 2013

Yogurt untuk Cantik





Yogurt atau susu masam merupakan sejenis makanan yang kaya dengan sumber protein, kalsium, potassium, mineral dan vitamin untuk manfaat luaran dan dalaman tubuh badan.

Ia bukan sahaja baik untuk sistem penghadaman malah boleh dijadikan sebagai krim semulajadi yang bebas daripada bahan kimia. Apa yang menarik, krim ini dapat dilakukan di rumah tanpa melibatkan kos yang banyak. Nak tahu manfaat yogurt untuk kecantikan dalaman dan luaran anda? Mari lihat kebaikannya di sini.

Melembapkan kulit
Kultur hidup bersama asid laktik di dalam yogurt mampu melembut, melembap dan membuang sel kulit mati. Sapukan yogurt ke seluruh wajah tangan serta kaki dan biarkan ia selama 20 minit sebelum dicuci dengan air suam. Lebihan yogurt tadi boleh disimpan di dalam peti sejuk untuk disapu pada wajah sebagai pupur.

Untuk kulit kering
Bagi mereka yang mempunyai masalah kulit terlalu kering, tambahkan sedikit madu ke dalam yogurt kerana madu mempunyai unsur pelembap. Selain itu, anda juga boleh mencampurkan tiga sudu besar yogurt bersama dua sudu besar lobak merah yang sudah dikisar. Sapukan campuran tersebut pada wajah dan biarkan selama 20 minit sebelum dicuci dengan air suam.

Mencerahkan kulit
Campurkan yogurt dengan satu sudu besar serbuk koko dan satu sudu besar madu. Gaulkan bersama-sama sehingga menjadi pekat sebelum disapukan pada wajah. Pastinya kulit akan tampil lebih segar, cerah dan bercahaya.

Membuang sel kulit mati
Yogurt juga boleh digunakan untuk membuang sel kulit mati dengan cara mencampurkan dua sudu besar yogurt dengan satu sudu besar oat. Gosokkan pada wajah dan tubuh badan dengan gerakan bulat agar semua sel kulit mati dapat dibuang.

Selain itu, anda boleh mencampurkan yogurt dengan kulit buah-buahan sitrus seperti oren yang sudah dikisar dan dikeringkan bersama dua sudu besar yogurt.

Menghapuskan bintik hitam dan bintik putih
Campuran serbuk beras dan yogurt yang dijadikan pes pekat mampu menghilangkan bintik hitam dan putih pada wajah sekaligus membersihkan wajah agar kelihatan berseri.

Caranya mudah sahaja. Sapukan pes tersebut dangan gerakan membulat pada wajah dan biarkan seketika sebelum dicuci dengan air sejuk. Kacang walnut juga boleh diguna untuk menggantikan beras.

Hilangkan jerawat
Masalah jerawat akan segera pulih dalam tempoh seminggu apabila menyapu yogurt setiap hari pada wajah. Kandungan zink yang terdapat di dalam yogurt membantu mengeringkan jerawat selain mengurangkan kesan merah dan keradangan.

Mengecilkan liang roma
Kandungan zink di dalam yogurt juga mampu mengecilkan liang roma dan menjadikan tona kulit anda kelihatan lebih sekata.

Hapuskan lingkaran gelap bawah mata
Sapukan sedikit yogurt di kawasan sekitar bawah mata selama 15 minit sebelum mencucinya. Di samping itu, campuran yogurt bersama serbuk kunyit, jus limau dan madu boleh disapu kepada bahagian kulit yang menjadi gelap akibat matahari selama 40 minit sebelum dibasuh.

Atasi masalah penuaan
Yogurt juga boleh mengelakkan anda daripada masalah kedutan sehingga membuatkan anda kelihatan tua dari usia sebenar. Caranya ialah dengan mencampurkan yoguret bersama minyak zaitun dan biarkan ia disapu pada kulit selama 30 minit. Lakukan tiga kali seminggu untuk hasil yang menakjubkan.

Hasilkan yogurt anda sendiri dengan dua liter susu penuh krim dan separuh liter susu yogurt yang mengandungi kultur hidup. Jangan lupa simpan di dalam peti sejuk untuk tahan lebih lama!

Sumber : Yahoo

No comments:

Post a Comment

Cer Komen sikit...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Penaja Utama

Terima Kasih Kerana Mengunjungi Dapur Ola